PROGRAM MADANI KITA (PMK) DAN MAJLIS PENYERAHAN KAMPUNG ANGKAT MADANI (KAM) SERTA SEKOLAH ANGKAT MADANI (SAM) JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA) 2026

PERAK, 14 November 2026 – Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan masyarakat melalui penganjuran Program MADANI Kita (PMK) dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) serta Sekolah Angkat MADANI (SAM) RELA 2026 yang berlangsung di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Perak, hari ini.

Program yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri itu turut dihadiri YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha KDN dan YBhg. Datuk Rosli bin Yaakub, Ketua Pengarah RELA, bersama ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi serta setiausaha-setiausaha bahagian KDN.

Menerusi pelaksanaan inisiatif KAM dan SAM, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan setempat, merangkumi RM500,000 bagi KAM dan RM100,000 bagi SAM. Peruntukan ini memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih serta menaik taraf kemudahan surau dan masjid di kawasan kampung, selain mempertingkat prasarana sekolah dan sekolah agama bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan masyarakat serta warga pendidikan.

Inisiatif ini bukan sekadar melibatkan penambahbaikan infrastruktur, malah menjadi usaha berterusan untuk menyokong kesejahteraan komuniti melalui penyediaan kemudahan yang dapat dimanfaatkan bersama. Penambahbaikan rumah ibadah turut menyokong aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, manakala kemudahan pendidikan yang lebih baik membantu menyediakan ruang pembelajaran yang lebih selesa kepada generasi muda.

Selain penyerahan inisiatif KAM dan SAM, Program MADANI Kita (PMK) turut menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai pengisian termasuk pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, sukan rakyat, jualan serta aktiviti komuniti. Program turut diserikan dengan aktiviti penanaman pokok bakau di Kampung Sungai Tiram dan Ziarah Kasih RELA sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat serta memupuk keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar.

Penganjuran program ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang bukan sahaja menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, malah turun padang untuk mendengar, menyantuni dan memahami keperluan komuniti. Melalui kerjasama antara agensi kerajaan dengan penduduk setempat, inisiatif seumpama ini diharap dapat memperkukuh semangat kebersamaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *