
KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pekerjaan dalam talian semakin licik menggunakan media sosial dan tawaran gaji lumayan untuk memperdaya rakyat Malaysia, malah ada mangsa yang akhirnya terperangkap dalam kegiatan pemerdagangan manusia di luar negara.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) menjadi antara instrumen penting dalam memperkukuh keselamatan pengguna melalui tanggungjawab penyedia perkhidmatan digital yang tertakluk kepada akta berkenaan.
Berikut 10 langkah yang boleh membantu membendung penipuan pekerjaan dalam talian melalui pengurusan risiko platform, penguatkuasaan dan kerjasama pelbagai pihak:
- Sahkan identiti pengiklan – Galakkan pengesahan identiti syarikat dan ejen pengambilan pekerja bagi mengurangkan iklan pekerjaan palsu.
- Tangani iklan penipuan – Kenal pasti dan ambil tindakan terhadap iklan pekerjaan palsu yang melanggar undang-undang atau dasar platform.
- Kurangkan promosi kandungan berisiko – Perkukuh sistem pengesanan bagi mengehadkan penyebaran tawaran pekerjaan mencurigakan.
- Kesan rangkaian akaun palsu – Kenal pasti akaun yang digunakan secara berulang atau berkoordinasi untuk memperdaya pencari kerja.
- Mudahkan saluran aduan – Sediakan mekanisme pelaporan yang jelas dan mudah digunakan oleh mangsa.
- Tangani akaun sindiket – Ambil tindakan sewajarnya terhadap akaun yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan penipuan.
- Perkukuh kerjasama dengan PDRM – Salurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa melalui saluran yang sah.
- Kesan testimoni palsu – Tingkatkan pemantauan terhadap kandungan mengelirukan, termasuk video atau imej yang dimanipulasi menggunakan AI.
- Tingkatkan amaran keselamatan – Paparkan peringatan kepada pengguna mengenai tawaran pekerjaan mencurigakan dan taktik penipuan yang dikenal pasti.
- Perkukuh akauntabiliti platform – Pastikan penyedia perkhidmatan yang tertakluk kepada ONSA melaksanakan kewajipan keselamatan dan pengurusan risiko yang ditetapkan.
Perlindungan pengguna tanggungjawab bersama
Usaha membanteras penipuan pekerjaan memerlukan kerjasama kerajaan, pihak berkuasa, penyedia platform digital dan masyarakat.
ONSA menyediakan satu lagi lapisan perlindungan dalam ekosistem digital, manakala penguatkuasaan undang-undang jenayah, kerjasama antarabangsa dan pendidikan pengguna kekal penting dalam membanteras sindiket.
Orang ramai perlu sentiasa menyemak kesahihan tawaran pekerjaan, tidak mudah terpedaya dengan janji gaji lumayan dan mengelakkan perkongsian maklumat peribadi dengan pihak tidak dikenali.
Ingat, semak sebelum percaya. Jangan biarkan impian mencari rezeki bertukar menjadi perangkap sindiket penipuan.
