MDN DAN KPN ZIARAH ANGGOTA POLIS DITETAK, ZAHIR SOKONGAN MORAL

Kuala Lumpur, 12 November 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan lawatan kebajikan ke atas Lans Koperal Theirry Rodger Fendy yang cedera parah dalam insiden serangan bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, Selangor, semalam.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan kesihatan anggota berkenaan yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anggota berusia 26 tahun yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak itu mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus akibat ditetak warga asing menggunakan parang ketika menjalankan tugas.

Mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan dalam usaha menyambung semula pergelangan tangan kanannya.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid turut menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan anggota berkenaan serta memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada beliau serta keluarga.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Timbalan Pengarah Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti Bukit Aman, DCP Datuk Suryani Sungit, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Mohammad Mashdik Yahya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, SAC Sazalee Hj. Adam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Hj. Ahmad Azwan Hj. Amin Nordin dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ibrahim Husin.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *