
DOHA, 8 November – Malaysia menegaskan setiap negara berhak menentukan hala tuju dan dasar telekomunikasi sendiri tanpa dominasi kuasa teknologi besar bagi mengelakkan berlakunya kolonialisme teknologi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kedaulatan negara dalam membangunkan infrastruktur digital perlu dihormati, terutama ketika persaingan geopolitik semakin mempengaruhi ekosistem teknologi global.
Beliau berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G menerusi model rangkaian borong tunggal sebelum beralih kepada model dwirangkaian membuktikan kepentingan kebebasan negara menentukan pendekatan pembangunan teknologi sendiri.
Menurutnya, industri telekomunikasi juga perlu memberi tumpuan kepada peningkatan penggunaan 5G dan 5G-Advanced sebelum melangkah ke teknologi generasi keenam (6G).
Fahmi turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, pendekatan berasaskan konsensus ASEAN serta usaha merapatkan jurang digital bagi memastikan pembangunan teknologi lebih inklusif dan selamat.
Beliau berkata demikian ketika menyertai perbincangan panel peringkat menteri pada Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Doha 2026.
