GOOGLE LABUR RM61 BILION DI MALAYSIA, 800,000 RAKYAT BAKAL TERIMA MANFAAT LATIHAN KEMAHIRAN – PMX

*KUALA LUMPUR,

7 November 2026*– Google mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak RM61 bilion di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028, melibatkan pembangunan infrastruktur pusat data, tenaga bersih dan pengukuhan bekalan air negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan berkenaan mencerminkan keyakinan syarikat teknologi global itu terhadap kestabilan Malaysia serta hala tuju pembangunan ekonomi digital negara.

Menurut beliau, pelaburan tersebut merangkumi pembangunan kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi digital dan teknologi serantau.

Selain pembangunan infrastruktur, Anwar turut menyambut baik komitmen Google untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, khususnya golongan muda, usahawan mikro dan pencari kerja.

MEREBUT PELUANG PEKERJAAN

Katanya, inisiatif itu penting bagi memastikan rakyat tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk merebut peluang pekerjaan dan ekonomi baharu dalam sektor digital.

Dalam pada itu, beliau memahami kebimbangan rakyat berhubung penggunaan sumber tenaga dan air bagi operasi pusat data yang semakin berkembang.

Sehubungan itu, Google akan menanggung sepenuhnya kos penggunaan elektrik pusat datanya serta kos infrastruktur sambungan langsung ke grid, selain merancang menambah lebih satu gigawatt kapasiti tenaga bersih kepada Grid Nasional.

Di Negeri Sembilan pula, perancangan pembangunan projek takungan dan loji rawatan air dijangka membantu meningkatkan bekalan air terawat untuk kegunaan komuniti setempat.

Anwar menegaskan bahawa kejayaan sesuatu pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat.

Justeru, kerajaan akan memberi perhatian kepada pelaksanaan setiap komitmen berkenaan bagi memastikan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan bergaji baik, perusahaan tempatan berpeluang berkembang serta kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air terus diperkukuh.

Menurut beliau, pelaburan strategik itu perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas dan peningkatan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan Malaysia MADANI.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *