



PETALING JAYA, 4 November 2026β Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kejayaan pembangunan bandar tidak seharusnya diukur berdasarkan kemegahan bangunan dan pencakar langit semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui keluhuran nilai, ketinggian akhlak serta martabat manusia yang mendiaminya.
Penegasan itu disampaikan ketika beliau menghadiri Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di Petaling Jaya, pagi ini.
Anwar mengingatkan bahawa semangat kekitaan, kesatuan dan solidariti merupakan asas penting dalam membina sesebuah tamadun. Beliau merujuk pemikiran Ibn Khaldun dalam Muqaddimah yang menekankan konsep asabiyyah atau esprit de corps sebagai antara tonggak kebangkitan masyarakat dan negara.
KEPENTINGAN BERSAMA
Bagaimanapun, idealisme tersebut boleh terhakis apabila generasi seterusnya terlalu mengejar kuasa, terlibat dalam rasuah dan sibuk mengumpul kekayaan sehingga mengabaikan nilai serta kepentingan bersama.
Beliau turut mengaitkan pemikiran itu dengan penelitian sejarawan Arnold Toynbee mengenai kebangkitan dan keruntuhan tamadun, selain pandangan Mark Twain bahawa kemegahan fizikal sesebuah kota tidak semestinya menggambarkan kekayaan budaya dan kekuatan nilai masyarakatnya.
Menurut Anwar, pembangunan bandar tidak boleh terperangkap dalam perlumbaan membina mercu tanda dan pencakar langit sehingga mengetepikan nasib rakyat, khususnya golongan miskin, penduduk pinggir kota serta mereka yang masih berdepan kesukaran mendapatkan perumahan, kemudahan asas dan persekitaran hidup yang bermaruah.
Beliau menegaskan bahawa kerangka Malaysia MADANI menuntut pembangunan yang mengimbangi kemajuan fizikal dan teknologi dengan pemantapan nilai, budaya, akhlak serta keadilan sosial.
Anwar berkata, ukuran sebenar kejayaan perancangan bandar bukan terletak pada keindahan dasar yang dirangka, tetapi pada keberkesanan pelaksanaannya dalam meningkatkan harkat dan martabat manusia.
βKerana membangunkan kota β pada hakikatnya β adalah membangunkan insan dan jiwa manusia,β katanya.
