
WASHINGTON, 29 Okt – Harga makanan global dijangka meningkat tujuh peratus pada 2027 selepas mencatat kenaikan kira-kira 10 peratus tahun ini berbanding 2025, menurut unjuran Bank Dunia.
Kenaikan itu dijangka didorong gangguan penghantaran bijirin, cuaca buruk yang menjejaskan tanaman serta kos bahan api dan baja yang tinggi.
Bank Dunia turut mengunjurkan harga tenaga meningkat hampir satu pertiga tahun ini, sebahagian besarnya susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang menjejaskan penghantaran komoditi melalui Selat Hormuz.
Institusi itu memberi amaran bahawa konflik yang semakin meruncing dan fenomena El Niño yang lebih buruk boleh mencetuskan krisis makanan serta meningkatkan kemiskinan tegar.
Bank Dunia menganggarkan kira-kira 811 juta penduduk dunia kini hidup dalam kemiskinan tegar, iaitu dengan pendapatan kurang daripada US$3 sehari.
– BERNAMA-dpa
