
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Seramai 600 keluarga komuniti India di Parlimen Lembah Pantai menerima baucar RM150 setiap satu bagi membantu meringankan perbelanjaan keperluan harian menjelang sambutan Deepavali.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif membantu komuniti India setempat, dengan keseluruhan 1,600 keluarga disasarkan menerima bantuan.
Baucar berkenaan boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan di pasar raya terpilih, iaitu Checkers, TMC Bangsar, Mydin dan Econsave Jalan Klang Lama, sehingga 18 November ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memberi perhatian kepada usaha menaik taraf kemudahan di SJKT Bangsar, termasuk penyediaan komputer riba baharu untuk makmal komputer, selain memastikan SJKT Saraswathy terus beroperasi dan menjadi pilihan ibu bapa.
