
YATTA, 17 September – Selepas dua rumah mereka dirobohkan tentera Israel, sebuah keluarga Palestin di Masafer Yatta, selatan Tebing Barat, terpaksa menjadikan gua sebagai kediaman.
Penternak, Mohammed Emar, 33, bersama dua isterinya dan 11 anak kini menetap di dua buah gua yang diubah suai dengan lantai konkrit, dinding dikapur serta dilengkapi panel solar dan telaga sebagai sumber air.
Menurut isterinya, Fatima Emar, keluarga itu pada awalnya tinggal di khemah selepas rumah yang dibina pada 2023 dimusnahkan.
Tentera Israel mempertahankan tindakan merobohkan rumah berkenaan atas alasan ia dibina tanpa permit di kawasan di bawah kawalannya, manakala penduduk Palestin mendakwa permohonan permit pembinaan hampir sentiasa ditolak.
Emar berharap kira-kira 1,100 penduduk Palestin di kawasan itu suatu hari nanti dapat kembali hidup dengan selamat di kediaman mereka sendiri. – AFP
