




9 September 2026
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada hari ini (9 September).
Forum yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Johor Bahru bertajuk ‘Adab dan Akal Dalam Dunia Digital Membina Masyarakat Berhemah’.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UTM disambut YAM Cheβ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor UTM.
Turut hadir, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM; Datoβ Yahya Ahmad, Mufti Johor, dan Encik Hishamuddin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).
Forum yang memasuki siri kelima penganjurannya ini diterajui oleh Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM dengan kerjasama rakan strategik, iaitu Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Perbadanan Islam Johor.
Program ini menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, siswazah, ahli akademik, agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat umum.
Tema tahun ini menerokai keperluan mengimbangi kemajuan kecerdasan buatan (AI), media sosial dan inovasi berasaskan data dengan adab, pemikiran kritis serta tanggungjawab.
Perbincangan yang diketengahkan memberi tumpuan kepada isu berita palsu dan βdeepfakeβ, pengaruh algoritma, buli siber, integriti penggunaan AI, kesejahteraan mental dan pembentukan jati diri generasi muda.
Forum ini menampilkan Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy dari Universiti Malaya, Dr. Fakrul Azren Azhar, doktor psikiatri dan kesihatan mental, serta Ustaz Mohd Hambali Abd Rahman, pelajar Sarjana Pengajian Islam Akademi Tamadun Islam UTM sebagai panel.
Ia dimoderasikan oleh Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.
Sebelum berangkat pulang, Raja Permaisuri Agong turut berkenan melihat ‘Showcase AI Transliterasi Manuskrip’, projek UTM yang memperagakan penggunaan AI dalam mentransliterasi manuskrip Melayu Johor daripada Jawi kepada Rumi dan reruai pameran interaktif visual realiti (VR).
