

ISLAMABAD, 21 Ogos 2026 β Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri, meneruskan hari kedua Lawatan Kerja ke Pakistan dengan beberapa pertemuan peringkat tinggi dan lawatan ke institusi strategik negara itu.
Program dimulakan di Parlimen Pakistan menerusi pertemuan bersama Speaker National Assembly, H.E. Sardar Ayaz Sadiq, diikuti kunjungan hormat ke atas Chairman Senate, H.E. Syed Yousaf Raza Gilani.
YB Menteri kemudiannya mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Pakistan, H.E. Muhammad Shehbaz Sharif. Pada kesempatan tersebut, YB Menteri bersama H.E. Syed Mohsin Raza Naqvi, Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, menandatangani Triti Perpindahan Banduan Antarabangsa (ITOP) MalaysiaβPakistan, disaksikan oleh Perdana Menteri Pakistan. Triti ini menyediakan mekanisme bagi pemindahan banduan yang layak untuk menjalani baki hukuman di negara asal.
Program diteruskan dengan lawatan ke National Database and Registration Authority (NADRA) bagi meninjau keupayaan Pakistan dalam pengurusan identiti, biometrik dan perkhidmatan digital, sebelum YB Menteri mengadakan pertemuan dengan Chief of Defence Forces Pakistan.
YB Menteri seterusnya melawat Anti-Narcotics Force (ANF) Headquarters, dengan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama membanteras jenayah narkotik rentas sempadan melalui perkongsian risikan, kerjasama operasi, latihan dan pertukaran kepakaran.
Rangkaian program diteruskan dengan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Pakistan dan Presiden Pakistan, sekali gus melengkapkan program rasmi YB Menteri di Islamabad.
Lawatan kerja ini mencerminkan keakraban hubungan MalaysiaβPakistan yang telah terjalin sejak 1957, serta komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama yang lebih substantif dan berorientasikan hasil, khususnya dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik MalaysiaβPakistan pada tahun 2027.
Kredit Gambar: Pejabat Perdana Menteri Pakistan
