
KUALA LUMPUR, 8 Ogos β Institusi keluarga perlu menjadi barisan hadapan dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman dunia digital yang semakin kompleks, termasuk buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi digital dan kandungan memudaratkan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan, perlindungan digital yang berkesan bermula dari rumah dengan ibu bapa berperanan membimbing anak-anak menggunakan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Usaha berkenaan turut memerlukan kerjasama pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi kerajaan serta komuniti dalam membentuk ekosistem digital yang lebih selamat.
Perkara itu menjadi fokus utama Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Bertemakan βInternet Selamat, Tanggungjawab Semuaβ, konvensyen anjuran Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama MCMC itu menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru, kepimpinan PIBG, pentadbir sekolah, agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti.
Menurut MCMC, pengukuhan literasi digital di peringkat keluarga dapat melahirkan generasi yang lebih celik digital, berdaya tahan dan bertanggungjawab, selain membantu mengurangkan risiko jenayah siber serta meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Konvensyen yang memasuki siri ketiga selepas penganjuran di Pahang dan Perak itu akan diteruskan di Johor, Sabah dan Sarawak, dengan sasaran memperkasa lebih satu juta rakyat Malaysia sepanjang 2026 berkaitan keselamatan dalam talian.
Antara isu yang diberi perhatian termasuk penipuan dalam talian, buli siber, had umur penggunaan media sosial serta eksploitasi dan penganiayaan seksual kanak-kanak.
MCMC akan terus memperluas program advokasi dan literasi digital serta memperkukuh kerjasama strategik dan penguatkuasaan bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, dipercayai dan inklusif, khususnya untuk kanak-kanak serta golongan rentan.
