
KUALA LUMPUR, 11 Julai β Taktik mengeksploitasi golongan cacat penglihatan bagi meraih simpati orang ramai terbongkar selepas Jabatan Imigresen menahan lima wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi dalang kegiatan berkenaan dalam satu operasi khas di ibu negara, semalam.
Operasi di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman itu menyaksikan, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tempatan tersebut dijadikan umpan bagi mengutip sumbangan awam, dengan sindiket dipercayai memperoleh pendapatan sehingga RM200 setiap malam sejak memulakan kegiatan, pada awal Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan terhadap 10 individu melibatkan lima warganegara Malaysia dan lima warga asing membawa kepada penahanan lima wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 56 tahun.
βSiasatan awal mendapati aktiviti mengemis ini didalangi warga Indonesia yang memanipulasi warga tempatan berstatus OKU cacat penglihatan bagi meraih simpati dan mendapatkan sumbangan orang ramai.
βWarga Indonesia berkenaan akan memimpin OKU berkenaan ke lokasi-lokasi tumpuan awam khususnya di kawasan kedai makan pada waktu malam sambil berpura-pura sebagai pasangan suami isteri bagi mengaburi pihak berkuasa
βOrang awam yang memberi sumbangan akan diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan gambaran aktiviti jualan,β katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, semakan awal mendapati dua daripada wanita warga Indonesia itu menyalahgunakan pas yang dimiliki iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembantu rumah dan Pas Lawatan Sosial.
Beliau berkata seorang lagi didapati tinggal lebih masa manakala dua individu lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
Dalam operasi itu, Imigresen turut menyita tiga pasport Indonesia, barangan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan serta wang tunai RM159 yang dipercayai hasil aktiviti mengemis.
Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
Sumber : RTM
Sorotan : Berita Jendela Madani
