
CYBERJAYA, 9 Julai 2026 – Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya di
pentas antarabangsa apabila ASEAN 5G Skills Framework and Capacity
Development Platform yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) dinobatkan sebagai Pemenang (Winner Project) bagi Garis
Tindakan WSIS C1:
Peranan Kerajaan dan Semua Pihak Berkepentingan dalam
Memajukan ICT untuk Pembangunan sempena World Summit on the Information
Society (WSIS) Prizes 2026.
Pencapaian ini menandakan tahun kedua berturut-turut inisiatif MCMC menerima
pengiktirafan di peringkat global menerusi WSIS Prizes, selepas kejayaan Pusat
Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dinobatkan sebagai Pemenang (Winner Project)
pada tahun 2025.
Kejayaan ini turut menyusuli pengiktirafan yang diterima pada Jun
lalu apabila tiga (3) inisiatif MCMC, iaitu ASEAN 5G Skills Framework and Capacity
Development Platform, MCMC Five-Year Plan 2030 (FYP2030) dan portal
Sebenarnya.my, telah dinamakan sebagai Champion Projects dalam WSIS Prizes
2026.
Anugerah tersebut disampaikan hari ini pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2026 yang
berlangsung sempena WSIS Forum 2026 di Geneva, Switzerland.
Majlis berprestij itu
menghimpunkan peserta peringkat tinggi, termasuk wakil kementerian dan pegawai
kanan dari pelbagai negara.
Edisi WSIS Prizes tahun ini turut mencipta sejarah
dengan merekodkan 1,595 penyertaan daripada 122 buah negara serta menerima
lebih 2.2 juta undian di peringkat global.
Winner Projects merupakan pengiktirafan tertinggi bagi setiap kategori Garis Tindakan
WSIS, yang dipilih daripada Champion Projects yang dikenal pasti melalui proses
penilaian dan undian awam global.
Dibangunkan oleh MCMC menerusi kerjasama negara-negara anggota ASEAN,
pemain industri dan pakar serantau, rangka kerja ini menjadi penanda aras serantau
dalam pembangunan kemahiran 5G yang bersedia menghadapi cabaran masa
hadapan.
Rangka kerja tersebut, yang telah diperakukan pada Mesyuarat Menteri-
Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) di Hanoi, Vietnam pada Januari lalu, mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi yang merangkumi Power Skills dan
Prime Skills, serta 12 jurang kemahiran keutamaan dalam bidang seperti infrastruktur
rangkaian, pengkomputeran awan, keselamatan siber, kecerdasan buatan,
kejuruteraan data dan perkhidmatan digital.
Pengiktirafan ini mencerminkan kejayaan usaha kolektif negara-negara anggota
ASEAN yang diselaraskan di bawah kepimpinan Kementerian Komunikasi melalui
MCMC dalam membangunkan rangka kerja kemahiran 5G serantau.
Kementerian
Komunikasi dan MCMC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua
negara anggota ASEAN atas kerjasama, komitmen dan sokongan berterusan yang
telah menyumbang kepada kejayaan inisiatif ini.
Menerusi program perintis pembangunan kapasiti, seramai 252 peserta daripada
kesemua 11 negara anggota ASEAN telah berjaya dilatih, sekali gus memperkukuh
kerjasama serantau serta melahirkan tenaga kerja yang bersedia mendepani
perkembangan teknologi digital dan teknologi baharu muncul.
Kejayaan ini membuktikan bahawa melalui kerjasama serantau yang erat dan
komitmen bersama, ASEAN berupaya melahirkan inisiatif berimpak tinggi di peringkat
global. Pencapaian ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju
transformasi digital yang inklusif, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap
keupayaan negara dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Pada masa yang
sama, ia mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dan MCMC
dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi platform seperti Kesatuan
Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan ASEAN.
Dikeluarkan oleh:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
