PMX setuju TERAJU dipindahkan jadi agensi di bawah JPM

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang sebelum ini dipantau Kementerian Ekonomi, dipindahkan menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata tujuannya bagi memantapkan pemantauan program pembangunan Bumiputera, khususnya inisiatif di bawah PuTERA35.

“Perkara ini dipersetujui sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2026 hari ini,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Anwar berkata langkah tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha pemerkasaan institusi Bumiputera yang telah dimulakan melalui pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

PENCAPAIAN KESELURUHAN PuTERA35

Jelas beliau sehingga kini, pencapaian keseluruhan PuTERA35 telah mencecah 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan.

“Lantas perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda pembangunan Bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” ujar beliau.

Anwar berkata mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah membelanjakan sebanyak RM49.2 bilion pada tahun lepas, khususnya melalui perolehan daripada vendor dan pembekal Bumiputera.

KOMITMEN PELABURAN GLIC

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan komitmen pelaburan GLIC dalam perniagaan Bumiputera ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya, termasuk menerusi inisiatif Larian Ganti Bumiputera yang bertujuan memperluas akses pembiayaan dan pelaburan kepada usahawan Bumiputera di setiap peringkat pertumbuhan.

“Khazanah Nasional Berhad pula akan melancarkan Dana Ciptawan dengan peruntukan RM200 juta bagi menyokong syarikat Bumiputera peringkat pertengahan (mid-tier companies), sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran yang lebih luas,” kata beliau.

Selain itu, tambah Perdana Menteri mesyuarat turut meneliti resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lalu, yang mana penelitian lanjut akan dibuat terhadap beberapa cadangan strategik, termasuk penubuhan Majlis Tahfiz Negara, agar usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan Bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *