OPS PANTAU 2026: KPDN keluarkan 532 KOTS berjumlah RM143,400

Oleh: Sholina Osman
8 MAC 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan 532 kompaun on-the-spot (KOTS) yang berjumlah RM143,400.00 sempena OPS PANTAU 2026.

Timbalan Menterinya Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sehingga 6 Mac OPS PANTAU 2026 sebanyak 36,510 pemeriksaan telah dilaksanakan di
seluruh negara susulan 892 aduan yang diterima.

Beliau berkata bagi pemantauan khusus di bazar Ramadan pula, sebanyak 12,794 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan hanya lapan kes direkodkan setakat ini.

“Masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak manakala satu kes pula di Perak dan Putrajaya,” kata beliau dalam kenyataan media.

PERINGKAT ZON TIMUR

Terdahulu Dr Fuziah hadir pada Sesi Walkabout Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) peringkat Zon Timur yang diadakan di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan.

“Ia adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH MADANI yang bertujuan membantu menangani kos sara hidup rakyat sepanjang bulan Ramadan,” kata beliau.

Beliau berkata BRR kini memasuki tahun keempat pelaksanaan sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023.

“KPDN meneruskan pelaksanaan BRR pada tahun 2026 di 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga,” kata Dr Fuziah.

PELBAGAI PILIHAN JUADAH

Beliau berkata di semua lokasi BRR ini, peniaga menyediakan pelbagai pilihan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang seimbang dan berpatutan.

“Peniaga turut digalakkan memperbanyakkan penyediaan Juadah RAHMAH merangkumi
pelbagai kategori makanan supaya setiap lapisan pengguna mempunyai
pilihan mampu beli yang mencukupi,” kata beliau.

Beliau menambah peniaga yang melaksanakan Juadah RAHMAH juga layak memohon Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH yang kini dikeluarkan dalam bentuk digital bagi mempercepatkan proses kelulusan kepada peniaga yang terlibat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *