



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah di Hospital Pulau Pinang menziarahi sahabatnya yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin sebelum memulakan lawatan kerja di Pulau Pinang dan Kedah.
“Alhamdulillah, beliau dalam keadaan baik dan kami sempat berbicara panjang,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri turut menyampaikan kiriman salam isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Hashim dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera.
Di hospital yang sama, Anwar turut menziarahi seorang jururawat Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
HARGAI PENGORBANAN PETUGAS
“Saya hargai pengorbanan petugas kesihatan yang begitu besar jasanya dalam menjaga dan berkhidmat kepada masyarakat,” kata Anwar.
Sebelum beredar, beliau mendapatkan perkembangan projek naik taraf kemudahan di Hospital Pulau Pinang agar usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan terus berjalan lancar demi manfaat rakyat. – JM
