SEJATI MADANI PEMANGKIN EKONOMI LUAR BANDAR DI PAKAN

PAKAN, 24 FEB- Program Sejati MADANI yang dilaksanakan di kawasan pedalaman perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin ekonomi luar bandar, termasuk pendekatan bagi menjana modal sendiri dan mengembangkan aktiviti berasaskan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, inisiatif tersebut amat signifikan kepada masyarakat rumah panjang kerana bukan sekadar menyediakan bantuan, malah mendidik komuniti tentang asas ekonomi dan keusahawanan.

Jelasnya program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, itu penting dalam mengajar komuniti luar bandar tentang ekonomi, cara mencari modal sendiri tanpa perlu mengharap bantuan kerajaan.

Ujarnya, program tersebut seiring dengan pelaksanaan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menjadi antara instrumen penting memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya melalui peningkatan produktiviti di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan komuniti menggunakan peruntukan MRP sebagai modal permulaan bagi projek ekonomi yang mampu memberi pulangan kepada rumah panjang, sekali gus mewujudkan kitaran pembangunan yang lebih mampan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Excavator Program Sejati MADANI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Regina Angoi di Batu 13, Jalan Engkamop Pakan, pada Isnin.

Tambahnya, kepentingan budaya menabung turut ditekankan dalam kalangan komuniti luar bandar agar keuntungan daripada aktiviti ekonomi dapat diperkasakan semula, termasuk untuk pembelian aset, pengembangan operasi serta perancangan projek baharu.

Katanya, Pakan mempunyai lebih 200 rumah panjang dan pelaksanaan program seumpamanya yang masih baharu berpotensi menyumbang kepada pengukuhan ekonomi setempat, khususnya apabila digerakkan secara bersepadu dengan keperluan pembangunan asas.

Pada ketika ini, tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan projek jalan kebun bagi memperbaiki akses ekonomi komuniti, termasuk memudahkan pergerakan hasil pertanian dan aktiviti pengeluaran di peringkat rumah panjang.

Wartawan:Deen
Foto: Pusat Khidmat DUN Pakan

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *