






Oleh: Sholina Osman
10 FEB. 2026
Program pembangunan sosial melalui bantuan sara hidup, pendidikan, kesihatan, perumahan serta skim pemerkasaan ekonomi oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memberi manfaat langsung kepada sebahagian besar golongan yang memerlukan khususnya asnaf di negeri Perlis.
Justeru, kejayaan ini perlu diteruskan dan diperkemaskan lagi agar keberkatan dan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh serta berpanjangan.
Inisiatif transformasi digital yang dilaksanakan oleh MAIPs juga merangkumi pendigitalan kaedah dan data, peningkatan kecekapan sistem dalaman serta pengukuhan platform perkhidmatan yang telah banyak membantu mempercepat urusan, mengurangkan bebanan kerja, serta meningkatkan ketelusan.
MENYEMPURNAKAN MAJLIS PENYERAHAN
Titah berkenaan dizahirkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Zakat MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM210,000 kepada seramai 300 orang penerima dalam kalangan golongan asnaf terpilih yang melibatkan 75 orang anak kariah Felda Chuping, 75 orang anak kariah Batu Bertangkup, 75 orang anak kariah Panggas serta 75 orang anak kariah Kok Klang. – JM
