




Oleh: Sholina Osman
23 JAN. 2026
Konsep ‘mahabbah’ yang menjadi teras kepada program Ziarah Mahabbah ini amat bertepatan dengan tuntutan Islam itu sendiri yang mengajak umatnya untuk saling mengenali, memahami, dan membantu di antara satu sama lain, serta berbuat kebaikan tanpa mengira agama, bangsa, mahupun budaya.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah melalui ziarah, dialog dan interaksi secara langsung sepanjang program ini, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah membina sebuah kepercayaan, menyuburkan silaturahim serta memperkukuh hubungan serumpun yang telah lama terjalin di antara Perlis, serta 6 Wilayah Andaman yang lain.
Baginda bertitah program ini dilihat sebagai satu bentuk pendekatan yang berkesan dalam mendekatkan institusi agama dengan masyarakat setempat.
Ziarah sebegini membuka ruang untuk kita memahami realiti sebenar kehidupan Ummah, berkongsi pengalaman, serta meneliti peluang kerjasama dalam bidang kebajikan, pendidikan, pembangunan asnaf, dan pengurusan hal ehwal Islam.
“Lebih penting, ianya menyemai rasa kebersamaan, kasih sayang dan tanggungjawab bersama dalam memperkukuh kesejahteraan umat Islam di rantau ini,” titah Baginda ketika berkenan berangkat pada Program Hijrah Minda di Masjid Wakaf, Trang, Thailand.
Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetuai delegasi Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd ke Wilayah Andaman Thailand di Krabi dari 23 hingga 25 Januari.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengurus Besar ATAM Sdn Bhd Muhammad Farid Abdul Rahim.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah 40,000 bath Thailand kepada masjid berkenaan.
Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen pula berkenan menyampaikan sumbangan 1000 bath seorang kepada 21 anak yatim dan fakir kariah masjid berkenaan.
Raja Muda dan delegasi juga menunaikan solat Jumaat bersama penduduk kariah masjid berkenaan.
Sementara itu Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) menyediakan bubur lambuk sambil mempromosi kemasukan ke universiti berkenaan dengan tawaran biasasiwa tajaan penuh MAIPs untuk anak-anak penduduk setempat. – JM
