






Oleh: Sholina Osman
18 JAN. 2026
Penguat Kuasa Kawalselia Padi dan Beras Putrajaya telah berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup 9,750 kilogram beras super import gred Thailand White Rice 5 peratus (TWR5), pada pukul 10.30 pagi, 16 Januari lalu di Batu Caves, Selangor.
Kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan ia hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis pemborong beras di lokasi berkenaan pada pukul 10.30 pagi, 16 Januari lalu.
Berdasarkan risikan awal, hasil pemeriksaan mendapati pemborong terbabit disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran beras seludup dan mengesyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) dan Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
MENYITA LESEN BORONG
“Dalam operasi berkenaan, pihak penguat kuasa turut menyita lesen borong beras, salinan invois serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu siasatan dan menjejaki modus operandi sindiket berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Jika sabit kesalahan, pemborong berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000.
Kawalselia Padi dan Beras Putrajaya menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras aktiviti peneludupan dan penyelewengan beras yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan bekalan dan harga pasaran, malah memberi kesan negatif kepada kepentingan pengguna serta pesawah tempatan.
Orang awam juga diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penyelewengan beras kepada pihak berkuasa bagi memastikan rantaian bekalan beras negara sentiasa terpelihara dan terkawal. – JM
