Mahkamah Syariah perlu peka bidang kuasa sedia ada – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 JAN. 2026

Mahkamah Syariah perlu sentiasa peka terhadap bidang kuasa sedia ada, khususnya dalam bidang kuasa jenayah syariah, bagi memastikan kuasa kehakiman dapat dilaksanakan dengan lebih kemas dan berkesan.

Pemantapan bidang kuasa jenayah syariah adalah satu keperluan penting dalam usaha memperkukuhkan peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan yang berwibawa, selari dengan keperluan semasa serta perkembangan sistem perundangan negara.

Sehubungan itu, takat kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Perlembagaan Persekutuan wajar dikaji dan diteliti dari semasa ke semasa, agar pelaksanaannya dapat dimaksimumkan tanpa melangkaui kerangka perlembagaan yang ditetapkan.

BIDANGKUASA TAHANAN REMAN

Dalam konteks ini, perkara-perkara berkaitan prosedur jenayah, termasuk isu bidangkuasa tahanan reman (remand detention) oleh Mahkamah Syariah perlu diberi perhatian dan dibuat kajian menyeluruh bagi meneliti sama ada terdapat ruang dan keperluan untuk ia dilaksanakan dalam sistem kehakiman syariah pada masa kini.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar.

Kayuhan amal ini bukan sekadar sebuah aktiviti riadah, sebaliknya telah berkembang sebagai satu jenama ikonik di Negeri Perlis yang menggabungkan elemen sukan, dakwah dan kebajikan menerusi satu pendekatan menyeluruh bagi mendekati masyarakat.

KAEDAH PENYAMPAIAN BANTUAN

Berbeza dengan kaedah penyampaian bantuan secara konvensional yang lazimnya memerlukan pemohon hadir ke pejabat, Program Kayuhan MAIPs Peduli mengetengahkan pendekatan turun padang dengan membawa MAIPs bersama ketua-ketua agensi serta jabatan di peringkat negeri dan Persekutuan mengunjungi sendiri kediaman rakyat.

Pendekatan ini membolehkan pihak berkenaan menyelami realiti kehidupan golongan asnaf serta mereka yang kurang bernasib baik dengan lebih dekat, menyeluruh dan berkesan.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Ku Maznah Ku Mat, 67, dari Kampung Titi Tok Bandar; Ahmad Suhaimi Husin, 67, dari Kampung Hutan Melintang; serta Talib Ali, 74, dari Kampung Panggau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *