Kerajaan MADANI akan terus usaha tingkatkan kecekapan pentadbiran – PMX

Wartawan JM
5 JAN. 2026

Kerajaan MADANI akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam, dan menyegerakan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam masa yang sama, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran MADANI.

“Bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.

Terdahulu beliau berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

MERANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

Anwar berkata kesemua langkah ini saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur, dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.

“Semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua,” kata beliau

Pada majlis berkenaan Anwar juga telah menyampaikan hala tuju dan inisiatif yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.

USAHA REFORMASI KEKAL

Beliau berkata usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat.

Jelas beliau antara reformasi utama yang akan dilaksanakan ialah pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

“Langkah-langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *