Gano Excel Industries Sdn. Bhd., dipelawa kembangkan perniagaan di Perlis – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
4 JAN. 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan pelawaan agar Gano Excel Industries Sdn. Bhd., peneraju industri berasaskan Ganoderma lucidum (Lingzhi/Reishi), meneroka potensi pengembangan perniagaan masa hadapan di Perlis.

Sebagai sebuah syarikat tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Gano Excel mengusahakan penanaman dan pengeluaran Ganoderma.

Difahamkan bahawa syarikat ini mengendalikan ladang organik Ganoderma terbesar di dunia, berasaskan konsep ladang model berteknologi tinggi dengan pengurusan mampan.

LAWATAN KE LADANG

Hasrat Tuanku Raja Muda Perlis itu dizahirkan ketika Baginda berkenan menerima undangan untuk mengadakan lawatan ke Ladang Gano Excel di Kampung Cherok Mokkan, Mukim Hosba, Kedah.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengasas dan Presiden Gano Excel International, Leow Soon Seng, serta Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif, Leow Soon Kiak.

Dalam taklimat yang dipersembahkan kepada Baginda, Leow Soon Seng memaklumkan bahawa operasi syarikat berkenaan merangkumi lebih 100 rumah hijau khas, masing-masing berkapasiti sehingga 30,000 bongkah tanaman, bagi memastikan pengeluaran berskala besar dan konsisten untuk pasaran global. Setiap rumah hijau dilengkapi sistem kawalan mikroiklim, menjamin pertumbuhan Ganoderma yang seragam, bersih, dan berkualiti tinggi.

MENGGUNAKAN MEDIA ORGANIK

Semua tanaman ditanam menggunakan media organik sepenuhnya tanpa bahan kimia, melalui proses pensterilan suhu tinggi, manakala penuaian dilakukan secara manual pada tahap kematangan optimum.

Bongkah tanaman terpakai dikitar semula sebagai baja organik, sejajar dengan prinsip kelestarian alam sekitar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melawat fasiliti pemprosesan syarikat, termasuk makmal kawalan kualiti, mikrobiologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta analisis kimia, bagi memastikan setiap produk diuji dan dipantau secara saintifik sebelum dipasarkan.

PENERAJU DALAM INDUSTRI

Sebagai peneraju dalam industri imunologi pemakanan berasaskan Ganoderma, Gano Excel memiliki prasarana bertaraf antarabangsa yang mematuhi piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), selain diperakui di bawah Skim Organik Malaysia (myOrganic).

Syarikat itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk pemeriksaan Food and Drug Administration (FDA)Amerika Syarikat, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap keselamatan, kualiti, dan ketulenan produk sebelum dipasarkan ke peringkat global. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *