PMX lancar I LITE YOU sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Inovasi Pencahayaan ke arah Kelestarian Bandar (I LITE YOU) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Pavilion Kuala Lumpur malam tadi
sebagai usaha memperindah wajah dan suasana ibu kota.

“Saya terharu melihat sambutan luar biasa oleh rakyat Malaysia dan pelancong asing terhadap peluncuran I LITE YOU dan perarakan yang dipersembahkan, yang membuktikan bahawa usaha memperindah Kuala Lumpur ini berupaya memperkukuh daya tarikan kita di mata dunia,” kata beliau.

“Alhamdulillah, industri pelancongan negara terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.

Beliau berkata keamanan, keharmonian serta kepelbagaian budaya yang kita pelihara bersama kekal menjadi kekuatan dan tarikan utama pelancong asing ke Malaysia.

KEHADIRAN IKON DUNIA

Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ikon dunia kebanggaan negara, Tan Sri Michelle Yeoh, yang juga bintang Asia pertama menerima Anugerah Oscar.

“Saya kagum mendengar perkongsian anak kelahiran Ipoh ini tentang disiplin, ketekunan dan keberanian mengejar cita-cita, yang harus menjadi inspirasi khususnya buat anak-anak muda untuk bekerja keras secara konsisten dan berpegang pada semangat untuk mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa,” tambah Perdana Menteri.

Jelas beliau sambutan malam tadi membuktikan bahawa kekuatan kreativiti, bakat dan disiplin anak bangsa mampu mengangkat Malaysia sebagai negara yang hebat, diyakini dan disegani di mata dunia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *