



PUTRAJAYA, 26 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh komitmennya dalam usaha memerangi rasuah melalui pemerkasaan budaya integriti, dengan menerima lawatan seramai 50 orang peserta dari Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Sesi taklimat utama yang disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya Muhammad Zaim bin Mohd Zuki, Ketua Seksyen Agensi, Cawangan Kerajaan dan Agensi, dari Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan perkongsian yang menekankan aspek integriti, tadbir urus, pencegahan rasuah, serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam.
Delegasi lawatan yang diketuai oleh Tuan Mohd Helmi bin Arifin, Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Manjung, yang turut merakamkan ucapan penghargaan kepada SPRM atas kesudian menerima delegasi lawatan serta berkongsi ilmu dan kepakaran yang amat bernilai dalam usaha memperkasa warga MPM agar lebih berdaya saing dan berintegriti dalam melaksanakan amanah organisasi.
Sebelum itu, delegasi lawatan turut di bawa melawat beberapa fasiliti utama SPRM seperti Konti Radio MACC.fm, Padang Kayangan di Aras 7 dan Sky Bridge di Aras 11. Lawatan ini memberikan gambaran holistik dan lebih dekat kepada para peserta mengenai operasi SPRM serta peranan penting yang dimainkan oleh agensi ini dalam menjaga kepentingan awam dan negara.
