Raja Muda Perlis perkenan Masjid Nurul Husna Wang Kelian jadi PPS mangsa banjir

Oleh: Sholina Osman
Foto media sosial
23 NOV 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah perkenan agar Masjid Nurul Husna Wang Kelian dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan demikian atas perkenan Raja Muda pada 23 November 2025.

“MAIPs sentiasa bekerjasama rapat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai Agensi bagi membantu mangsa-mangsa terlibat,” kata beliau dalam kenyataan media di FB.

TELAH DILANDA BANJIR

Sementara itu Kampung Wang Kelian yang bersempadan dengan Thailand telah dilanda banjir sejak petang semalam.

Berikutan itu rumah penduduk, stesen minyak, Tabika KEMAS dan Dewan Orang Ramai telah dimasuki air.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis dalam kenyataan media di FB memaklumkan beberapa laluan menuju ke Pos Imigresen Wang Kelian telah dinaiki air susulan hujan berterusan pagi ini.

Paras air melintasi beberapa laluan kampung berhampiran pos.

SEDANG MEMANTAU KEADAAN

Pihak Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis sedang memantau keadaan banjir secara berterusan.

Sekiranya paras air meningkat atau keadaan meruncing, langkah keselamatan tambahan akan diambil dan dimaklumkan segera.

Orang awam dinasihatkan untuk berhati-hati dan mengikuti makluman rasmi yang dikeluarkan dari masa ke semasa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *