






Oleh: Sholina Osman
18 NOV. 2025
Kompleks Pejabat/Perumahan Kompeni C Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) (Kawalan Keselamatan Sempadan) Kuala Perlis secara rasmi diserahkan kepada Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.
Serentak dengan itu diadakan majlis menandatangani sempena serahan kompleks pejabat/perumahan berkenaan.
Ia ditandatangani oleh Timbalan Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Asisten Komisioner Jafri Muhamad selaku Penyerah manakala Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim selaku Penerima.
Majlis tandatangan ini disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PGA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
MELIBATKAN KOMPLEKS PERUMAHAN
Penyerahan ini melibatkan kompleks perumahan dan pentadbiran yang masih berfungsi sepenuhnya.
Ia merangkumi 4 unit kediaman Pegawai Kanan Polis (Kelas E), 80 unit kediaman Pegawai Rendah Polis (Kelas G), 4 unit kediaman Pegawai Rendah Polis Sarjan, Pejabat Pentadbiran, Pejabat Pengangkutan, Pejabat Persenjataan, Kelas Tabika Perpaduan, Surau, Dewan Serbaguna, Kelas KAFA, dan Padang Bola.
Sebagai makluman, Kompeni D Batalion 2 PGA Kuala Perlis telah dibubarkan secara rasmi pada 30 Oktober 2024, dan penempatan anggota serta kemudahan operasi telah disusun semula di bawah kawalan Kompeni C di Padang Besar.
Sementara itu dalam sidang media, Muhammad berkata kuarters ini nanti akan dapat menempatkan sebilangan anggota yang masih lagi menyewa.
Selain itu beliau berkata di kompleks ini nanti juga akan diletakkan unit-unit tertentu di mana mereka dapat bertugas dengan lebih selesa. – JM
