






Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2025
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 15 November 2025 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat),” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata seramai 1,784,843 orang pengundi layak untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing pada PRN Sabah ke-17 ini.
TENTERA SERTA PASANGAN
“1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 orang tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA),” kata beliau.
Beliau berkata bagi menjalankan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17, SPR telah melantik 25 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 196 orang Penolong Pegawai Pengurus.
Tambah beliau bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
PETUGAS AKAN DILANTIK
Jelas beliau seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17.
“Sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi
87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan,” kata beliau.
Jelas beliau lagi keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 buah Pusat Mengundi dengan 3,645 tempat mengundi/saluran.
“PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” tambah Ramlan. – JM
