Umat Islam diseru berusaha sepenuh hati dalam setiap bidang diceburi – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
13 SEPT. 2025

Umat Perlis diseru supaya berusahalah dengan sepenuh hati dalam setiap bidang yang diceburi.

Kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha. Setiap pencapaian besar bermula dengan langkah kecil yang dilakukan dengan penuh tekun dan berterusan.

Jangan sesekali berputus asa, sebaliknya jadikan sebarang kegagalan sebagai guru yang mendewasakan serta mematangkan diri kita dalam meniti jalan menuju kejayaan dalam bidang masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Jelempok, Arau, baru-baru ini.

MATLAMAT MENDEKATI MASYARAKAT

Program kayuhan amal ini diadakan dengan matlamat mendekati masyarakat serta menyantuni golongan asnaf di negeri Perlis.

Ia juga menjadi medium penting untuk memperkukuh ukhuwah antara institusi agama, para pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh makna dan berimpak besar.

Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Norezan Nayan, 46, dari Kampung Hutan Lintang; Saad Man, 86, dari Kampung Hutan Kandis; serta Suzaliana Shuhada, 57, dari Kampung Jelempok.

Setiap mereka menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *