


Oleh: Sholina Osman
4 SEPT. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti dan memadam 31 akaun palsu di Facebook (FB) yang menyalahgunakan nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Kenyataan Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah turut menggugat usaha serta menjejaskan fokus NSRC dalam melindungi masyarakat daripada jenayah penipuan dalam talian.
AGENSI PENGUAT KUASA
“MCMC menegaskan bahawa maklumat rasmi mengenai NSRC hanya boleh diperoleh melalui saluran agensi penguat kuasa yang sah,” kata kenyataan itu.
Orang ramai digesa sentiasa berwaspada, melaporkan sebarang akaun atau mesej meragukan
kepada pihak berkuasa, serta bersama mempertahankan integriti NSRC.
MCMC akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), NSRC dan penyedia platform media sosial bagi mengekang penyebaran akaun serta maklumat palsu, demi keselamatan pengguna Internet di Malaysia. – JM
