





Oleh: Sholina Osman
10 OGOS 2025
Kementerian Komunikasi melancarkan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 yang pertama di Johor bagi memperkasa penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.
Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan selepas ini GDPM Fest 2025 akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana selepas ini di Kuantan, Pahang pada 17 Ogos dan di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Ogos.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching telah melancarkan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 di sebuah hotel di Johor Bahru hari ini (10 Ogos).
EKOSISTEM PENJAGAAN KESIHATAN
“Melalui program ini diharap ianya dapat menyokong usaha kerajaan ke arah ekosistem penjagaan kesihatan lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.
Penganjuran program ini merupakan usaha Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi MCMC untuk memastikan PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan, tidak tercicir daripada arus kemajuan teknologi disamping membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih
cekap, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan mendatang.
Antara pengisian program ini termasuk sesi perkongsian mengenai bantuan transformasi penjagaan kesihatan dan demonstrasi penyelesaian teknologi masa
hadapan, kepentingan penggunaan teknologi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, dan pengalaman realiti maya (VR).
RAKAN-RAKAN STRATEGIK
Sokongan rakan-rakan strategik seperti Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Bank Simpanan Nasional (BSN), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta rakan-rakan rakan penyedia teknologi kesihatan masa hadapan, membuktikan pentingnya
penyatuan peranan sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara.
GDPM Fest 2025 membawa inisiatif ini ke akar umbi melalui pendekatan setempat yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan.
MCMC turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services (OHS), satu usaha penting dalam memastikan penggunaan platform kesihatan masa
hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika.
Melalui program ini diharap ianya dapat menyokong usaha kerajaan ke arah ekosistem penjagaan kesihatan lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. – JM
