YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI KAZAN

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di Kazan, ibu negeri Republik Tatarstan, sebagai sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Rusia.

Republik Tatarstan merupakan sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.

Terdahulu, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan jam 10.15 pagi (waktu tempatan Rusia) hari ini (8 Ogos).

Mengiringi bersama Sultan Ibrahim ke Kazan ialah Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan yang juga Menteri Pengiring dan TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan disambut mesra Tuan Yang Terutama (TYT) Rustam Minnikhanov, Rais (Presiden) Tatarstan.

Hadir sama, TYT O V Korobchenko, Timbalan Perdana Menteri Republik Tatarstan yang juga Menteri Industri dan Perdagangan serta TYT Naiyl M Latypov, Duta Rusia ke Malaysia.

Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.

Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Rusia bermula 5 Ogos lalu atas jemputan TYT Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia.

YDPAgong

AllahPeliharakanSultan

IstanaNegara

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *