Pesta Air Kuala Perlis yang bertaraf antarabangsa dijangka lebih hebat – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
25 JULAI 2025

Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 16 September 2025 yang akan datang ini.

Orang ramai diundang hadir bagi memeriahkan lagi temasya tahunan yang buat julung kalinya dinaik taraf sebagai ‘peringkat antarabangsa’ ini.

Penyertaan pasukan-pasukan dalam dan luar negara juga dialu-alukan.

Demikian menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran “Perlis Food Promotion” di Borneo Indonesian Restaurant, Kigali, ibu negara Rwanda.

SEBAHAGIAN DARIPADA USAHA

Inisiatif yang dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan pihak Suruhanjaya Malaysia di Nairobi, Kenya adalah sebahagian daripada usaha memperkenalkan keenakan dan keunikan hidangan asli Negeri Perlis di mata dunia.

Keberangkatan baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Pengurus Restoran, M. Rizki Ariyandi.

Hadir sama Syarafina Adilah Ahmad Nasir, Setiausaha Kedua, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Kenya, Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

DUA WARGA MALAYSIA

Turut serta ialah dua warga Malaysia yang bekerja di Kigali iaitu Steven Lim Teik Jeall dan Ho Yoke Yen.

Acara ini mengetengahkan Kurma Daging Perlis, sebagai simbol keunikan citarasa tradisional negeri paling utara Semenanjung Malaysia. Hidangan ini disediakan khas bagi memperkenalkan kekayaan budaya kulinari Perlis kepada masyarakat antarabangsa, khususnya komuniti diplomatik dan perniagaan di Kigali.

Program ini turut mempersembahkan segmen promosi pelancongan yang menampilkan keindahan landskap, warisan budaya, dan produk pelancongan utama Perlis melalui bahan edaran serta sesi interaktif bersama tetamu jemputan.

MEMPERKUKUH HUBUNGAN DIPLOMATIK

Dalam titah ringkas baginda, Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa program seperti ini berperanan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik “rakyat-ke-rakyat”, di samping membuka peluang baharu untuk sektor pelancongan, ekonomi dan kebudayaan Perlis di persada antarabangsa.

“Kehadiran Perlis di Rwanda hari ini bukan sekadar mempromosikan makanan, tetapi membawa bersama identiti dan keramahan rakyat Malaysia kepada dunia,” titah baginda.

Program ini menjadi sebahagian daripada rangka lawatan baginda sempena ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ ke Rwanda, dan memperlihatkan komitmen baginda dan MAIPs dalam menjalin hubungan antarabangsa yang strategik menerusi pendekatan budaya, makanan dan pelancongan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *