

Oleh: Sholina Osman
23 JULAI 2025
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Mary, Limbahau, Papar bagi
memperkukuh literasi dan kesedaran digital dalam kalangan komuniti di Sabah.
Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
memaklumkan penganjuran KIS di Sabah ini menandakan pendekatan strategik Kementerian Komunikasi menerusi MCMC yang bukan hanya tertumpu kepada capaian Internet semata-mata, tetapi juga memberikan penekanan kepada penggunaan Internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Antara pengisian KIS termasuk sesi kesedaran keselamatan dalam talian, aktiviti interaktif serta latihan kepada guru bagi memperkukuh nilai dan jati diri pelajar ketika berhadapan dengan cabaran menerusi alam siber.
KERANGKA MALAYSIA MADANI
Kempen ini turut mencerminkan pendekatan βwhole-of-nationβ di bawah kerangka Malaysia MADANI, yang menyaksikan MCMC berganding bahu bersama pihak sekolah, guru, ibu bapa, dan pihak berkuasa tempatan untuk menyampaikan mesej
keselamatan digital secara berkesan.
MCMC menyeru seluruh masyarakat, dari kampung hingga ke bandar, dari
Semenanjung hingga ke Sabah, untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini.
Internet bukan sekadar alat komunikasi, tetapi medan untuk membentuk nilai, menyebar ilmu dan menyatukan rakyat.
“Mari kita pastikan ruang digital ini kekal selamat, beretika dan membina untuk generasi hari ini dan akan datang,” kata kenyataan itu lagi.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya. – JM
