Gaji minimum RM1,700 sebulan berkuatkuasa 1 Ogos 2025 – KESUMA

Oleh: Sholina Osman
22 JULAI 2025

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan bahawa pelaksanaan sepenuhnya Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 kepada semua majikan di seluruh negara, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan.

Kenyataan media KESUMA memaklumkan kadar baharu ini telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula dilaksanakan pada 1 Februari 2025 bagi majikan yang
mempunyai lima orang pekerja dan ke atas serta bagi majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification
of Occupations (MASCO) 2020.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, satu tempoh penanggguhan pelaksanaan selama enam bulan telah diberikan dan akan tamat pada 31 Julai 2025.

Ini bermakna, bermula 1 Ogos 2025, semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan,
perlu mematuhi perintah gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan.

PEKERJA BUKAN WARGANEGARA

Ini termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik.

Semua majikan diwajibkan mematuhi kadar minimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, semua majikan perlu menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang
ditetapkan.

Selain itu, majikan juga perlu membuat penyesuaian operasi secara
progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja.

KEGAGALAN MEMATUHI PERINTAH

KESUMA ingin mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan di bawah, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].

Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda
sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan, dan bagi kesalahan berulang, denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

KESUMA turut menggalakkan majikan untuk memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan
gaji minimum.

Melalui DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja
berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.

PEKERJA BERKEMAHIRAN TINGGI

Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang
dalam pasaran buruh yang semakin mencabar.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kementerian Sumber Manusia.

Untuk maklumat lanjut mengenai
pelaksanaan gaji minimum, sila layari www.minimumwages.mohr.gov.my.
Manakala bagi memahami potensi dan penyertaan dalam Dasar Gaji Progresif, majikan boleh melayari www.gajiprogresif.gov.my.

Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan kebajikan pekerja terpelihara sejajar dengan pengukuhan ekosistem pekerjaan negara melalui dasar yang inklusif
dan mampan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *