Raja Muda Perlis lawat Kilang Cendana Auto Sdn. Bhd. di Semenyih

Oleh: Sholina Osman
20 JULAI 2025

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kilang Cendana Auto Sdn. Bhd. di Semenyih, Selangor.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah anakanda-anakanda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah syarikat berkenaan, Abdul Rauf Nassiruddin dan Ketua Pegawai Operasi, Shahrinoldin Othman.

Turut hadir ialah Penasihat Syarikat, Jen (B)Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan rakan strategik, Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim.

SYARIKAT TEMPATAN TERKEMUKA

Cendana Auto Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat tempatan terkemuka dalam pembuatan kenderaan taktikal tentera dan penyediaan perkhidmatan automotif, yang terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap industri pertahanan negara.

Pengoperasian penuh Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Pembuatan (R&D and Manufacturing Centre) menjadi bukti komitmen syarikat terhadap inovasi dan kemajuan teknologi.

Kilang berteknologi tinggi ini berperanan sebagai nadi utama syarikat dalam menghasilkan reka bentuk prototaip, membangunkan inovasi terkini, serta menjalankan pengeluaran berskala besar kenderaan taktikal bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

Dengan reputasi sebagai antara pengeluar utama kenderaan 4×4 tentera negara, Cendana Auto telah menghasilkan pelbagai model taktikal seperti Special Operations Vehicle (SOV), Fitted For Radio (FFR), kenderaan pembawa mortar dan pelbagai lagi varian yang kini digunakan secara meluas oleh Angkatan Tentera Malaysia.

PERKHIDMATAN BAIK PULIH

Selain daripada pembuatan, syarikat ini turut menyediakan perkhidmatan baik pulih, penyelenggaraan (MRO), pembekalan alat ganti, serta penyewaan kenderaan bagi sektor pertahanan dan awam.

Dengan gabungan teknologi terkini dan kepakaran tempatan, Cendana Auto terus komited menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh keupayaan pertahanan tempatan serta melonjakkan daya saing industri automotif nasional ke peringkat lebih tinggi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meninjau fasiliti-fasiliti berteknologi tinggi dan terkini milik Cendana Auto Sdn. Bhd., merangkumi Makmal Elektrikal, Prototaip Unit Rondaan Mudah Alih (Mobile Surveillance Unit), Prototaip Kabin Belakang GS Cargo MATM, peralatan Jig, Ruang Kerja Mengecat dan Kerja Badan (Painting and Bodywork Area), Prototaip GS Cargo Tentera Darat serta empat prototaip kenderaan iaitu Magatti, FFR dan Vektor. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *