



Wartawan Jendela MADANI
Foto Ihsan UniMAP
19 JULAI 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memacu sinergi strategik antara institusi dan industri menerusi penganjuran Perhimpunan Alumni Industri Chapter Utara, sempena Sambutan Hari Alumni UniMAP 2025 yang berlangsung dengan penyertaan lebih 137 industri dan 11 agensi kerajaan, di Pulau Pinang.
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan majlis perhimpunan yang dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, menyaksikan kehadiran hampir 400 alumni dari seluruh utara tanah air, antaranya dari Intel, Micron, B. Braun, Oppstar serta penyumbang korporat seperti Inari Amatron, ATS Global dan Lembaga Pelabuhan Johor.
Menurut Zaliman, alumni adalah duta UniMAP bukan sahaja di mata industri, tetapi adalah penyambung strategi, mentor, penyokong universiti dan penyampai nilai serta reputasi UniMAP.
WAJAH KEJAYAAN UniMAP
βDi mana jua anda berada sama ada dalam kejuruteraan, teknologi, keusahawanan mahupun pendidikan β andalah wajah kejayaan UniMAP untuk terus menjadi pemangkin perubahan dan kekuatan kepada alma mater kita,β katanya dalam ucapan perasmiannya.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry Bin Abdul Majid; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rizalafande Che Ismail; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Kata Zaliman lagi, program ini merupakan permulaan kepada inisiatif Jelajah Alumni Industri UniMAP yang bakal diperluas ke Zon Tengah, Selatan, Pantai Timur dan Borneo.
SEBAGAI SATU PLATFORM
βUsaha ini dilihat sebagai satu platform untuk merapatkan jurang antara akademia dan industri, selain memupuk kolaborasi dinamik merentasi wilayah dan sektor seiring dengan kerangka MADANI yang berfokus kesejahteraan,β katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada alumni dan industri atas komitmen bagi pembangunan universiti melalui Tabung Wakaf Alumni UniMAP yang kini telah menjana hampir RM60,000, termasuk sumbangan korporat mencecah RM5,000 setiap satu daripada beberapa syarikat strategik.
βSasaran kita ialah mengumpul sekurang-kurangnya RM200,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan pelajar dan alumni.
MEMBINA MASA DEPAN
Ini bukan sekadar dana, tetapi amanah bersama membina masa depan universiti,β katanya.
Selain itu, sebanyak 10 inisiatif utama alumni (flagship initiatives) turut diperkenalkan sebagai kerangka penglibatan alumni secara berstruktur dan berterusan.
βAntaranya termasuk pelantikan Alumni Ambassador (antarabangsa dan industri); Anugerah Alumni Cemerlang; Konvensyen Usahawan Alumni; serta penglibatan aktif dalam konvokesyen dan program mentorship pelajar.
MEMPERKUKUH KETERLIHATAN GLOBAL
Pelantikan 141 Alumni Ambassador dari luar negara mewakili prinsip β1 negara, 1 alumniβ turut menzahirkan usaha UniMAP dalam memperkukuh keterlihatan global dan membina rangkaian alumni antarabangsa,β katanya.
Zaliman turut menyeru para alumni agar terus menyumbang kepada reputasi dan pencapaian global UniMAP, terutamanya dalam penarafan antarabangsa seperti QS Rankings.
Perhimpunan ini membuktikan betapa eratnya hubungan antara alumni, universiti dan industri yang membentuk satu ekosistem strategik yang akan terus berkembang demi memastikan UniMAP kekal relevan dan berdaya saing di persada nasional dan antarabangsa. – JM
