Raja Perlis sambut baik hasrat Arkib Negara Malaysia buka pejabat di Perlis

Oleh: Sholina Osman
15 JULAI 2025

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyambut baik dan mengalu-alukan hasrat Arkib Negara Malaysia membuka pejabatnya di Perlis.

Baginda pada masa yang sama turut menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan Arkib Negara Malaysia dalam memelihara warisan sejarah negara secara umumnya.

Kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan Baginda telah berkenan berangkat melakukan lawatan kerja ke Arkib Negara Malaysia yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Baginda disambut oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Haslina Abdul Hamid, dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

RAJA MUDA PERLIS

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut mengiring ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut menyertai kunjungan berkenaan, Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Dr. Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

PEJABAT REKOD AWAM

Arkib Negara Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1957 dengan nama asal Pejabat Rekod Awam, kini berfungsi di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara sejak tahun 2022.

Agensi ini menjalankan peranan utama dalam pengurusan rekod awam, pentadbiran arkib dan pengendalian arkib memorial negara.

Setakat ini, sebanyak 11,670 rekod berkaitan Negeri Perlis telah direkod dan disimpan oleh Arkib Negara, termasuk bahan berharga berkaitan adat istiadat Melayu.

MAJLIS SEJARAWAN NEGARA

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia memaklumkan mengenai perancangan Arkib Negara bagi menubuhkan Majlis Sejarawan Negara.

Tuanku Syed Sirajuddin meluangkan masa hampir tiga jam dalam lawatan berkenaan selain turut dipersembahkan penerangan mengenai koleksi terpenting Arkib Negara Malaysia berkaitan Negeri Perlis dan sejarahnya.

Lawatan ini melakar satu lagi detik penting dalam hubungan strategik antara Negeri Perlis dan Arkib Negara Malaysia, ke arah memperkasa dokumentasi sejarah dan memperkukuh nilai warisan bangsa untuk tatapan generasi akan datang.

Cadangan asal untuk dipertimbangkan agar diwujudkan sebuah pejabat Arkib Negara Malaysia sendiri di negeri Perlis telah diutarakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam satu majlis di ibunegara pada Disember 2023 yang lalu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *