







Oleh: Sholina Osman
14 JULAI 2025
Seramai 11 peserta Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Anyaman Rotan di Kampung Sempering, berjaya menamatkan kursus yang berlangsung dalam tiga fasa sejak Disember 2024.
Program ini dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pada 22 hingga 24 Disember 2024 (Fasa 1), 15 hingga 17 April 2025 (Fasa 2) dan 7 hingga 10 Julai 2025 (Fasa 3).
Latihan dijalankan secara berfasa merangkumi kemahiran asas menghasilkan produk seperti alas pinggan, bakul kecil dan cawan rotan dalam Fasa 1, disusuli penghasilan tudung saji rotan dalam Fasa 2.
Fasa 3 pula memberi penekanan terhadap rekaan dan inovasi produk bakul dobi rotan bagi menepati cita rasa pasaran moden.
MENINGKATKAN POTENSI KAMPUNG
Pelaksanaan PPKK di Kampung Sempering ini diadakan bersempena dengan Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung yang bertujuan untuk meningkatkan potensi kampung melalui pemantauan serta mengenal pasti masalah dan keperluan sosioekonomi penduduk setempat.
Sepanjang program ini, peserta dibimbing dan diberi tunjuk ajar oleh dua usahawan kraf anyaman rotan yang berpengalaman iaitu Shabanun Sharif dan Wan Shahbudin Wan Hamid.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk βAinu Sham Ramli telah menyempurnakan majlis penutup PPKK Kraf Anyaman Rotan Kampung Sempering, di pekarangan masjid Al Amin, Sempering, Kangar.
Dalam ucapan, βAinu Sham berkata PPKK terus memainkan peranan penting dalam memperkasa industri anyaman, khususnya anyaman rotan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar.
PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KRAF
Beliau berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Kraftangan Malaysia itu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kraf tempatan.
Selain itu katanya ia dapat membuka ruang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan secara tetap mahupun sampingan melalui penglibatan dalam perusahaan kraf.
Beliau berkata, hampir 7,000 usahawan kraf telah berdaftar di seluruh negara, termasuk 85 usahawan di Perlis. – JM
