







Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 JULAI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada Kerajaan Perancis, satu penghormatan tinggi yang mencerminkan keakraban dan saling menghormati dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis yang sekian lama terjalin.
Upacara ini turut melambangkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama, serta menyumbang kepada kestabilan, kemakmuran serta keamanan serantau.
Selesai sambutan rasmi, beliau mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri FranΓ§ois Bayrou sekali gus membuka lembaran baharu hubungan Malaysia dan Perancis.
PELBAGAI BIDANG KERJASAMA
“Kami menyentuh pelbagai bidang kerjasama strategik termasuk pelaburan bernilai tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, kerjasama tenaga bersih, pertahanan, pendidikan, serta latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya dalam hantaran di FB.
Anwar berkata, Malaysia menghargai sokongan Perancis terhadap misi peralihan tenaga dan transformasi ekonomi negara menerusi penglibatan aktif syarikat seperti ENGIE, Total dan Thales.
“Saya juga menekankan kepentingan komitmen pihak Airbus terhadap penghantaran pesawat A330 Neo yang telah dipersetujui bersama Malaysia Aviation Group (MAG), bagi memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan yang efisien,” kata beliau.
HUBUNGAN INDUSTRI PENERBANGAN
Beliau berkata, AirAsia turut menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis melalui komitmennya untuk memperoleh sejumlah pesawat Airbus, sekaligus memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara.
Jelas Perdana Menteri, sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam EU, beliau yakin hubungan ini akan terus berkembang selaras dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang lebih inklusif.
“Saya memanjangkan undangan kepada PM Bayrou untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai langkah memperteguh hubungan erat kedua-dua negara,” tambah beliau. – JM
