Zon Maritim Kuala Perlis rampas ganja 170kg bernilai hampir RM1 juta

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan ZMKP
3 JULAI 2025

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah sekaligus merampas ganja mampat seberat 170 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM900,000 pada awal pagi ini (3 Julai).

Pengarah Maritim Kedah/Perlis Romli Mustafa berkata, ganja berkenaan ditemui di dalam sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan di kedudukan 0.3 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Kuala Perlis, Perlis.

“Rampasan ini adalah hasil risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan juga pemantauan selama beberapa hari oleh anggota bot ronda yang menjalankan rondaan rutin dalam Operasi AMAN,” katanya pada sidang media di pejabat ZMKP di Kuala Perlis.

“Setelah menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, sampan kayu terbabit telah menukar haluan ke arah paya bakau,” katanya.

NEKAD TERJUN KE LAUT

Beliau berkata, seorang suspek nekad terjun ke laut meninggalkan bot dengan berenang ke kawasan paya bakau untuk melepaskan diri daripada ditahan.
 
“Hasil penggeledahan ke atas bot yang ditinggalkan telah menemukan lapan buah guni berbagai warna yang mengandungi 157 ketulan daun kering mampat disyaki ganja berada dalam sampan kayu berkenaan,” jelas beliau lagi.

Romli berkata, dipercayai jumlah dadah berkenaan dapat diselamatkan dari digunakan oleh lebih 30,000 orang penagih.

Beliau berkata, kesemua barang kes telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.

MENYELUDUP DAN MENGEDAR
 
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan menyeludup dan mengedar dadah yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya.
 
Romli berkata, ini merupakan kes rampasan dadah pertama dan terbesar bagi tahun 2025 oleh Zon Maritim Kuala Perlis.

Katanya, siasatan bagi kes ini juga meliputi siasatan ke atas dalang utama sindiket yang dipercayai terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing yang berada di negeri Kedah dan Perlis.

SINDIKET PENYELUDUPAN DADAH
 
“Ahli-ahli sindiket penyeludupan dadah dikesan bergerak menggunakan bot fiber dengan enjin berkuasa tinggi dari negara jiran, tanpa nombor pendaftaran dan kemudiannya ganja dan dadah dipindahkan ke bot fiber enjin bergalah tempatan tanpa nombor pendaftaran dengan penglibatan segelintir nelayan tempatan untuk dibawa ke kawasan daratan,” kata beliau.

Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan dadah dan daun ketum.

Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162 untuk tindakan segera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *