

Oleh: Sholina Osman
22 MAC 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah selesai melakukan kerja-kerja pengukuran serta pemetaan yang melibatkan 24 pelan kerja bagi persempadan antara Putrajaya-Selangor.
Beliau berkata, langkah seterusnya adalah mendapatkan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri bagi pihak Putrajaya dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi memuktamadkan persempadanan.
“Perjanjian bersama akan dimeterai pada tahun ini bagi mengesahkan garis sempadan rasmi kedua-dua wilayah,” katanya menerusi hantaran di FB.
KETUA-KETUA AGENSI
Terdahulu Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan Bil. 3/2025 di Menara Seri Wilayah hari ini.
Antara agenda utama kata Dr Zaliha yang dibincangkan adalah kemajuan proses persempadanan antara Putrajaya dan Selangor.
Dr Zaliha berkata, sejak 2021, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti 6 kawasan Out Boundary Problem (OBP).
TAMBAHAN 3 LAGI
Katanya, hasil semakan lanjut mendapati terdapat tambahan 3 lagi kawasan OBP baharu hasil daripada kerja ukur JUPEM sehingga Februari 2024.
Dr Zaliha berkata, pemuktamadan
sempadan ini penting untuk memastikan penguatkuasaan sempadan yang lebih bersepadu, memaksimumkan guna tanah secara optimum untuk pembangunan terancang, memperkemas kutipan hasil tanah, serta mengelakkan isu pencerobohan dan pertindihan kawasan.
Beliau berharap usaha ini diselesaikan dengan tuntas pada tahun ini demi kelestarian pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya. – JM
