Raja Muda Perlis sampaikan peralatan perubatan hampir RM100,000 kepada Hospital Kudat

Oleh: Sholina Osman
9 MAC 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Baginda berkenan mengurniakan peralatan perubatan berjumlah hampir RM100,000 kepada Hospital Kudat, Sabah.

Sumbangan itu sempena Program Titian Kasih Lawatan Kerajaan Negeri Perlis Ke Sabah (Eks PerBah) 2025 yang diketuai Baginda selama empat hari.

Antara jenis peralatan yang diserahkan kepada hospital berkenaan termasuk “Delivery Bed (Electrical)”, mesin hemodialisis, “syringe pump”, “blood warmer”, kerusi derma darah dan penimbang berat bayi.

Para penyumbang peralatan itu terdiri daripada Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), Mutiara Perlis Sdn Bhd, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Bank Rakyat, Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis dan Datuk Indera Dr Mohd Zaini Ariff.

TURUT DITAMBAH BAIK

Selain itu, Unit Perubatan Transfusi Tuanku Syed Putra di hospital berkenaan turut ditambah baik bagi memberi keselesaan buat pesakit di sana.

Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sistem komunikasi yang sistematik dan berkesan juga amat diperlukan di fasiliti kesihatan negara ini.

Titah baginda, pihak organisasi perlu menyediakan sistem maklum balas bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberikan bersifat dinamik dan sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan.

β€œKemajuan bidang perubatan yang sangat cepat dan keperluan pengubatan yang semakin kompleks bersama kekurangan sumber manusia serta peralatan menyebabkan industri kesihatan berdepan cabaran yang sangat besar,” titah baginda.

KEPIMPINAN YANG TERBUKA

Titah Baginda, fasiliti kesihatan di negara ini memerlukan kepimpinan yang terbuka dengan pandangan membina bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan buat rakyat.

Raja Muda bertitah, pihak terlibat juga seharusnya mampu membuat perancangan hala tuju yang jelas dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan organisasi.

β€œSelain itu, sistem pengurusan yang sistematik, efektif dan berintegriti amat diperlukan untuk menyokong kepimpinan organisasi dan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *