





9 MAC 2025
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan terulung dengan penganjuran Program Teater Arab 2.0 bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Arab baru-baru ini.
Penasihat program, Dr. Elsayed Makki berkata, acara yang berlangsung di Atrium Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ( KSAJS) itu disertai seramai 79 pelajar semester satu program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan (AT49), yang merupakan kumpulan Jil Jurjaniy, dengan sokongan 23 ahli jawatankuasa Persatuan Bahasa Arab.
Beliau berkata, program itu dilaksanakan bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar dalam bahasa Arab serta mendorong mereka untuk menjadikan bahasa tersebut sebagai alat komunikasi harian.
Program Teater Arab 2.0, katanya, berjaya memperlihatkan bukan sahaja kebolehan pelajar dalam menguasai bahasa Arab, tetapi juga memupuk kerjasama dan kreativiti dalam kalangan mereka.
INI MENJADI PEMANGKIN
Beliau berkata, kejayaan ini menjadi pemangkin untuk menjadikannya acara tahunan demi melahirkan graduan yang kompeten dalam bahasa Arab, sejajar dengan aspirasi UPSI sebagai institusi yang melahirkan pendidik profesional.
Penyelaras program, Ameliana Natasya Mahyun berkata, teater yang dipersembahkan itu merupakan sebahagian daripada silibus kursus Maharat Lughawiyyah 1, yang berfokus kepada kemahiran berbahasa secara kreatif.
Di bawah bimbingan Dr. Elsayed Makki katanya, empat kumpulan pelajar mempersembahkan cerita-cerita tradisional dalam bahasa Arab dengan penuh penghayatan.
DIRANGKUL OLEH KUMPULAN
Persembahan terbaik berjaya dirangkul oleh kumpulan yang membawakan kisah “Hang Tuah” (تواه حانخ قصة).
Sementara itu, tempat kedua dimenangi kumpulan yang mengetengahkan cerita “Kisah Pengembala dan Biri-biri” (الذنب والراعي قصة).
Tempat ketiga dan keempat pula masing-masing dimenangi melalui lakonan “Si Tanggang” (تانغانغ سي قصة) dan “Kisah Si Botak, Si Kusta dan Si Buta” (والأصلع والأبرص الأعمى قصة).
Salah seorang pelajar, Maizatul Husna Samsuden berpendapat program ini memberi peluang untuk berlatih bercakap dalam bahasa Arab secara fasih di hadapan orang ramai.
Jelasnya, ini amat membantu meningkatkan keyakinan dan kemahiran komunikasi kami. – JM
