



Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis
9 FEB. 2025
Sudah tahu perbuatan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan bagi menangkap siput itu salah, tapi masih ada segelintir nelayan yang masih berdegil.
Benarlah kata pepatah ‘jerat tidak lupakan pelanduk tetapi pelanduk lupakan jerat”.
Kelekaan seorang tekong dan nelayan menangkap siput dengan menggunakan sangkar besi akhirnya masuk perangkap apabila berjaya diberkas oleh pihak berkuasa.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis kerana melakukan aktiviti penangkapan hasil laut tanpa lesen yang sah di kedudukan sekitar 0.6 batu nautika barat pesisir pantai Kuala Perlis, Perlis, pagi semalam.
RONDAAN OP AMAN
Dalam kejadian tersebut katanya, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang melakukan rondaan OP AMAN di perairan Perlis telah menghampiri vesel berkenaan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap siput.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit yang berpangkalan di Kuala Perlis sedang melakukan aktiviti menangkap siput dengan menggunakan sangkar besi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Hashim berkata, bot berkenaan dikemudikan seorang tekong dan seorang awak-awak warga tempatan masing-masing berumur 28 dan 38
tahun.
MELANGGAR SYARAT LESEN
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang, atau menyebabkan dipasang, apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua hasil tangkapan dan rampasan yang dianggarkan bernilai hampir RM60,00 bersama-sama dua suspek dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999. – JM
