Malaysia tolak cadangan rakyat Palestin dipindah secara paksa

Oleh: Sholina Osman
6 FEB. 2025

Malaysia membantah sekeras-kerasnya cadangan yang mahu memindahkan secara paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan tindakan itu adalah tidak berperikemanusian dan disifatkan sebagai pembersihan etnik.

Sekaligus ia dengan jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin,” kata kenyataan itu lagi.

ADIL DAN BERKEKALAN

Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Pendekatan ini kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.

Masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin.

MENEGASKAN SEMULA SERUANNYA

Sehubungan itu, Malaysia menegaskan semula seruannya, seperti yang terkandung dalam Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024, agar semua negara yang mash belum menyokong penyelesaian dua negara segera mengambil langkah untuk mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan keselamatan dan keamanan jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan rantau Timur Tengah.

Malaysia juga menegaskan sokongannya terhadap usaha diplomatik dan multilateralisme, termasuk inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group, dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *