
GAZA, 11 November – Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun terbunuh dalam siri serangan udara dan tembakan tentera Israel di Semenanjung Gaza pada Selasa.
Menurut Pertahanan Awam Gaza, dua mangsa termasuk kanak-kanak berkenaan maut dalam serangan di kawasan Zeitoun, Bandar Gaza.
Tiga lagi dilaporkan terbunuh selepas sebuah bengkel tukang besi diserang, manakala seorang lagi maut apabila khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal menjadi sasaran serangan.
Di selatan Gaza, seorang rakyat Palestin turut terbunuh akibat tembakan tentera Israel berhampiran Khan Younis.
Tentera Israel mengesahkan melancarkan serangan terhadap beberapa individu yang didakwa sebagai anggota operasi ketenteraan, namun tidak memberikan maklumat lanjut.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 terus dibayangi tuduhan pelanggaran oleh kedua-dua pihak.
Sejak gencatan senjata bermula, lebih 1,590 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dengan angka berkenaan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
– AFP
