
Kewujudan akses Internet dan telefon pintar tidak semestinya menjadikan seseorang itu celik digital terutama apabila masih terdapat masyarakat yang kurang pengetahuan untuk memanfaatkan teknologi bagi tujuan pembelajaran, pekerjaan, perniagaan dan mendapatkan maklumat yang tepat.
Sehubungan itu, Pusat Internet Desa (NADI) dilihat berperanan sebagai jambatan yang membantu masyarakat meningkatkan kemahiran serta keyakinan dalam menggunakan teknologi secara lebih bermakna.
Bagi Nizar Baharin, 33, seorang pekerja swasta, kewujudan NADI memberi peluang kepada masyarakat untuk mempelajari kemahiran digital yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Katanya, memiliki telefon pintar sahaja tidak mencukupi sekiranya pengguna tidak mengetahui cara memanfaatkan teknologi untuk tujuan yang produktif.
βAda golongan yang mungkin mempunyai telefon pintar, tetapi masih tidak tahu bagaimana untuk menggunakan teknologi bagi tujuan pembelajaran, urusan kerja, perniagaan atau mendapatkan maklumat yang betul,β katanya.

Nizar Baharin
URUSAN HARIAN SEMAKIN BERPINDAH KE ALAM DIGITAL
Sementara itu, pegawai pentadbiran Israq Aliff, 30, berkata masyarakat kini semakin berdepan dengan keperluan menguasai teknologi dalam hampir setiap aspek kehidupan.
Menurutnya, pelbagai urusan termasuk pekerjaan, perniagaan, pembelajaran dan pencarian maklumat kini banyak dilakukan secara dalam talian.
βSekarang hampir semuanya menggunakan teknologi. Urusan kerja, perniagaan, pembelajaran dan mendapatkan maklumat semuanya banyak dilakukan secara dalam talian,β katanya.
Beliau berkata, kewujudan pusat seperti NADI memberi ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, mempelajari kemahiran baharu serta menggunakan kemudahan digital yang disediakan.

Israq Aliff
TEKNOLOGI BUKAN UNTUK GOLONGAN MUDA SAHAJA
Bagi peniaga, Chong Wei Ming, 54, masih terdapat individu yang berasa takut untuk mencuba teknologi kerana bimbang melakukan kesilapan.
Menurutnya, NADI boleh memainkan peranan sebagai penghubung yang membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas.
βNADI boleh menjadi jambatan untuk membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi,β katanya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat mengambil peluang yang tersedia dan tidak takut untuk mempelajari kemahiran digital.
βMasyarakat perlu mengambil peluang yang ada. Jangan takut untuk belajar kerana teknologi sepatutnya memudahkan kehidupan kita, bukan membuatkan kita rasa terpinggir,β katanya.
LEBIH 1,000 PUSAT, SATU PELUANG UNTUK BELAJAR
Sementara itu, guru taman asuhan kanak-kanak, Sherry Arun, 24, berkata NADI berpotensi menjadi ruang penting untuk masyarakat mendapatkan pengetahuan dan meningkatkan keupayaan diri dalam menghadapi perubahan landskap digital.
Katanya, kemudahan yang disediakan juga wajar dimanfaatkan oleh golongan muda dan kanak-kanak sebagai pendedahan awal kepada teknologi.
βKemudahan sedemikian juga boleh dimanfaatkan oleh golongan muda dan kanak-kanak untuk mendapatkan pendedahan awal kepada teknologi, terutama inisiatif NURTURE eKELAS Pelajar dan NADI e-Tuisyen,β katanya.
DARIPADA AKSES KEPADA KEMAHIRAN
Perkongsian masyarakat itu menunjukkan bahawa cabaran transformasi digital bukan lagi sekadar memastikan rakyat mempunyai akses kepada Internet.
Sebaliknya aspek literasi dan kemahiran digital semakin penting bagi memastikan teknologi benar-benar dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat.
NADI berpotensi menjadi ruang pembelajaran yang merapatkan jurang antara βada aksesβ dengan βtahu menggunakan teknologiβ.
Dalam era apabila semakin banyak urusan kehidupan berpindah ke platform digital, penguasaan kemahiran teknologi menjadi satu keperluan kepada semua golongan tanpa mengira usia dan latar belakang.
NADI bukan sekadar menyediakan kemudahan Internet, tetapi menjadi jambatan yang membantu masyarakat belajar, menyesuaikan diri dan mengambil peluang dalam ekonomi serta kehidupan digital.
