
16 OKTOBER 2026
GARA-GARA `LOVE SCAM’ :
LEBIH RM45 JUTA WANG RAKYAT MALAYSIA `HANGUS’ DALAM TEMPOH 16 BULAN
Mukadimah
Benarkah cinta itu buta sehingga menyebabkan insan yang kemaruk bercinta kehilangan minda sedar lalu sanggup mengorbankan jiwa dan harta benda mereka?
Lebih menghairankan lagi insan yang bercinta ini masih belum bertemu secara fizikal dengan sang kekasih. Hanya email atau WhatsApp menjadi penghubung cinta mereka. Bagaimana mangsa boleh sebegitu mudah diperdaya. Jendela Madani dalam Laporan Khas ‘LOVE SCAM’ membincangkan isu ini daripada pelbagai persektif termasuk peranan ONSA untuk bersama mengatasi isu ini.
Kupasan 1
Puluhan juta wang rakyat Malaysia hangus gara-gara perangkap ‘love scam’ yang menyasarkan mereka sebagai mangsa.
Angka tersebut diperolehi berdasarkan data terkini daripada
perangkaan dan statistik terbaharu daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta laporan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC):
- Data terkini dan keseluruhan jumlah kerugian
Tempoh Analisis: Januari 2025 – April 2026
Jumlah Kerugian Keseluruhan: Trend penipuan Love Scam merekodkan kerugian puluhan juta ringgit secara berterusan di Malaysia.
Sebagai gambaran, bagi tempoh antara Januari 2025 hingga Disember 2025, kerugian melibat kes Love Scam mencatatkan angka melebihi RM45 juta. Manakala bagi suku pertama 2026 (Januari – April 2026), trend terus meningkat dengan anggaran kerugian melebihi RM8.5 juta.
- Pecahan Jantina Mangsa
Secara keseluruhannya, data JSJK PDRM menunjukkan kecenderungan demografi mangsa mengikut jantina seperti berikut: - Wanita: 75% – 80% daripada keseluruhan laporan kes (kumpulan sasaran utama sindiket).
- Lelaki: 20% – 25% daripada keseluruhan laporan kes.
PROFIL INDIVIDU PALING RAMAI DITIPU
Profil individu paling ramai ditipu dengan (Jumlah Kerugian Tertinggi) adalah wanita yang berusia anggaran 55 tahun sehingga 67 tahun. Kebanyakan wanita adalah pesara sektor awam,
akauntan swasta dan juga golongan profesional.
Profil kes kerugian individu paling tinggi mencecah RM1.17 juta hingga RM2.47 juta dalam satu-satu kes.
Love Scam memerangkap mangsa yang terperdaya menerusi janji-janji manis perkahwinan dan pelaburan projek palsu serta melibatkan ratusan transaksi pindahan wang berperingkat.
Bagi golongan lelaki pula yang menjadi mangsa `love scam’ ialah yang berusia 35 tahun sehingga 52 tahun.
Kebanyakan lelaki yang menjadi mangsa `love scam’ memiliki peniagaan sendiri, bekerja sebagai jurutera atau eksekutif sektor swasta.
Profil Kes Kerugian Tertinggi: Kerugian individu mencecah RM800,000 hingga RM1.2 juta.
Mangsa biasanya terperdaya menerusi jerat pelaburan kripto/saham palsu yang diperkenalkan oleh “kekasih maya” atau kes pemerasan video intim (sextortion).
Sumber Data: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) & Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC)
KUPASAN 2: NASIB MALANG MANGSA -WANG LESAP , PASANGAN HILANG

LOVE SCAM : Kupasan 2
NASIB MALANG MANGSA LOVE SCAM:
WANG LESAP, PASANGAN HILANG
KISAH BENAR
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang yang menimpa seorang penjawat awam di Maran, Pahang gara-gara terperangkap dengan `love scam’. Beliau kerugian kira-kira RM160 ribu setelah terlibat dengan “love scam” sehingga diperdaya untuk pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Maran Superitendan Wong Kim Wai berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Maran, Pahang telah menerima satu laporan polis melibatkan seorang penjawat awam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh kenalan wanita yang dikenalinya melalui aplikasi media sosial.
“Mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi FB sebelum berhubung lanjut di aplikasi WhatsApp,” kata beliau dalam kenyataan media pada 20 Mac 2026 lalu.
MENAWARKAN PELUANG PELABURAN
Beliau berkata selepas tempoh perkenalan kira-kira sebulan, suspek telah menawarkan peluang pelaburan dalam satu platform dikenali sebagai “Future Funds” serta mendakwa boleh membantu dalam urusan pengeluaran keuntungan.
“Bermula 12 Februari 2026 hingga 4 Mac 2026, mangsa telah melakukan lapan transaksi kepada lima akaun syarikat yang berbeza-beza melibatkan jumlah keseluruhan RM160,000.00 terdiri daripada simpanan sendiri, pinjaman ahli keluarga serta pinjaman bank,” kata beliau.
Kim Wai berkata pada peringkat awal, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM2,000.00 sebelum suspek terus meminta bayaran tambahan RM57,000.00 dan RM10,000.00 dengan pelbagai alasan tanpa sebarang pulangan lanjut.
BERHUBUNG MELALUI APLIKASI
Beliau berkata mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp serta panggilan video.
“Nombor kad pengenalan yang diberikan juga adalah palsu,” katanya.
Menurut Kim Wai, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan mengumpul keterangan berkaitan.
CONTOH KES REALITI DAN MODUS OPERANDI SCAMMER
Berdasarkan rekod kes dan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berikut adalah contoh kes yang melibatkan mangsa wanita dan lelaki serta kaedah manipulasi yang digunakan oleh sindiket Love Scam:
- Contoh Kes Realiti Mangsa (Berdasarkan Laporan Polis)
Kategori Wanita (2 Kes Realiti)
Kes 1: Perangkap Kiriman Hadiah Mewah (Parcel Scam)
Latar Belakang: Seorang pesara wanita berusia 64 tahun melaporkan kerugian berjumlah RM1.17 juta.
Senario: Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki di aplikasi TikTok yang mendakwa dirinya jurutera minyak dan gas warga United Kingdom.
Selepas beberapa bulan berhubung, scammer berjanji menghantar bungkusan mewah berisi barang kemas dan wang tunai Dolar Amerika sebagai tanda cinta. Mangsa kemudian dihubungi oleh “ejen syarikat penghantaran/Kastam” palsu yang meminta pelbagai bayaran pelepasan cukai dan insurans secara berperingkat hingga mencecah 59 kali transaksi.
Kes 2: Modal Kecemasan Projek Dan Janji Perkahwinan
Latar Belakang: Seorang akauntan wanita berusia 67 tahun melaporkan kerugian berjumlah RM2.2 juta.
Senario: Mangsa berkenalan dengan lelaki warga Amerika Syarikat di Facebook yang berjanji mahu berpindah ke Malaysia untuk berkahwin dengannya.
Dalam tempoh berhubung, scammer kerap memberi alasan akaun banknya disekat dan memerlukan modal kecemasan untuk menyelesaikan projek pembinaan. Mangsa yang terpedaya telah melakukan 306 kali transaksi pindahan wang ke pelbagai akaun keldai (mule account) sehingga kehabisan wang simpanan KWSP.
FAIL KES KATEGORI MANGSA LELAKI
Kes 1: Jerat Pelaburan Kripto Berwajah Jelita
Latar Belakang: Seorang peniaga lelaki berusia 45 tahun melaporkan kerugian RM1.2 juta.
Senario: Mangsa berkenalan dengan seorang `wanita Asia Timur’ bernama ‘Elena’ di Instagram.
Selepas membina hubungan romantik secara maya selama sebulan, suspek mula memperkenalkan platform pelaburan kripto yang kononnya sangat menguntungkan.
Mengikut arahan “kekasihnya”, mangsa melaburkan wang secara berperingkat. Mangsa hanya menyedari ditipu apabila akaun pelaburannya disekat semasa mahu mengeluarkan wang keuntungan.
Kes 2: Panggilan Video Berahi & Pemeras Ugut (Sextortion)
Latar Belakang: Seorang jurutera lelaki berusia 32 tahun melaporkan kerugian RM85,000.
Senario: Mangsa berkenalan dengan seorang wanita cantik di aplikasi janji temu. Selepas beberapa hari bersembang mesra, wanita tersebut mengajak mangsa melakukan panggilan video intim (video call sex).
Tanpa disedari mangsa, scammer merakam perbuatan tersebut dan kemudian mengugut akan menyebarkan video berkenaan kepada ahli keluarga dan rakan tempat kerja mangsa sekiranya tidak memindahkan wang yang diminta.
BAGAIMANA BOLEH MUDAH DIPEDAYA ATAU DITIPU.
Perlu diingat Modus Operandi scammer amat licik dan amat terancang.
Secara teknikal dan psikologi, scammer menggunakan langkah-langkah terancang berikut untuk memperdaya mangsa:
- Umpan Profil Palsu (Casting the Net):
Scammer mencuri gambar individu berparas rupa menarik (jurutera, tentera, juruterbang, atau model) untuk mencipta akaun palsu di media sosial dan aplikasi janji temu.
- Bina Kepercayaan & ‘Love Bombing’:
- Peringkat awal penuh dengan perhatian, pujian, dan janji manis berlebihan secara konsisten setiap hari bagi mewujudkan ikatan emosi yang kuat dan rasa bergantung (emotional dependency).
- Cipta Senario Kecemasan / Peluang Emas:
- Apabila mangsa sudah mula terikat secara emosi, scammer akan mula memunculkan masalah (contoh: barangan tersangkut di kastam, perniagaan muflis, perubatan kecemasan) atau menawarkan peluang pelaburan khas “untuk masa depan bersama”.
- Kekunci Psikologi & Tekanan Berturut-turut:
Scammer menggunakan teknik manipulasi perasaan bersalah (guilt-tripping) atau desakan masa (urgency) supaya mangsa membuat keputusan secara meluru tanpa sempat berfikir secara rasional atau berbincang dengan ahli keluarga.
KUPASAN 3 – BERTINDAK SEBELUM TERLAMBAT : PERANAN ONSA DAN 10 CARA MENGELAK DITIPU `LOVE SCAM’

Kupasan 3
BERTINDAK SEBELUM TERLAMBAT:
PERANAN ONSA DAN 10 CARA MENGELAK DITIPU `LOVE SCAM’
TINDAKAN PANTAS ONSA MEMADAM AKAUN PALSU BOLEH BANTU CEGAH `LOVE SCAM’
Melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), persekitaran digital di Malaysia diperketatkan dengan meletakkan tanggungjawab perundangan (Duty of Care) secara langsung ke atas penyedia platform media sosial (seperti Meta, TikTok, Telegram, dan aplikasi janji temu):
Tindakan Pantas Memadam Akaun Palsu: ONSA mewajibkan penyedia platform mengesan dan menurunkan akaun penyamaran (impersonation), akaun bot, atau profil palsu yang digunakan oleh sindiket Love Scam dengan kadar segera selepas menerima laporan.
Sekatan Kandungan Dan Pautan Memudaratkan: Platform dikehendaki mengintegrasikan sistem keselamatan automatik bagi memblokir pautan (link) pelaburan palsu serta talian komunikasi yang berisiko tinggi.
Pengusutan Akaun Keldai (Mule Accounts): Memudahkan kerjasama rentas agensi antara Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta pihak bank untuk mengesan dan menyekat aliran kewangan syak dengan lebih pantas.
Liabiliti Ke Atas Platform Digital: Penyedia platform yang gagal mematuhi piawaian keselamatan atau membiarkan aktiviti penipuan berleluasa boleh dikenakan tindakan undang-undang dan penalti berat di bawah ONSA.
10 CARA ELAK DITIPU OLEH SCAMMER `LOVE SCAMMER’
- Semak Akaun Bank & No. Telefon di ‘Semak Mule’:
Sebelum melakukan sebarang pemindahan wang, sentiasa buat semakan akaun bank penama atau nombor telefon suspek pada portal rasmi PDRM: semakmule.rmp.gov.my.
- Lakukan Carian Imej Bergambar (Reverse Image Search):
Muat naik gambar profil individu berkenaan ke Google Images atau Yandex. Scammer kerap mencuri gambar model, tentera, juruterbang, atau eksekutif luar negara.
- Tuntut Panggilan Video Masa-Nyata (Live Video Call):
Minta berinteraksi secara video call secara terus. Jika mereka kerap memberikan alasan mencurigakan (talian rosak, peraturan tentera/kem, berada di zon perang), itu adalah petanda jelas scammer.
- Pegang Prinsip: `Jangan Hantar Wang Kepada Orang Tak Pernah Ditemui’
Tetapkan had peribadi bahawa anda tidak akan sesekali memindahkan wang kepada sesiapa sahaja yang belum pernah anda temui secara fizikal berhadapan.
- Waspada Cerita Barangan ‘Sangkut Kastam’:
Sebarang urusan cukai pelepasan barangan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau agensi kerajaan tidak pernah menggunakan akaun bank peribadi individu.
- Berhati-hati dengan ‘Love Bombing’:
Waspada jika individu yang baru dikenali beberapa hari atau minggu sudah memberi perhatian berlebihan, ungkapan cinta melampau, dan janji manis untuk berkahwin.
- Kawal Privasi Profil Media Sosial:
Elakkan mempamerkan maklumat kewangan, pendapatan, status kediaman, atau kehidupan peribadi yang terlalu terperinci sehingga menjadi sasaran sindiket penipuan.
- Jangan Kongsi Dokumen Dan Gambar Intim:
Jangan hantar gambar kad pengenalan, pasport, maklumat perbankan, atau gambar/video peribadi bagi mengelakkan daripada diugut (sextortion).
- Dapatkan Pandangan Pihak Ketiga (Rakan / Keluarga):
Apabila diminta memindahkan wang, ceritakan senario tersebut kepada ahli keluarga atau rakan karib. Pandangan pihak ketiga lazimnya lebih rasional dan tidak dikawal oleh emosi.
- Simpan Nombor Kecemasan NSRC (997):
Sekiranya anda terperdaya dan telah melakukan transaksi pemindahan wang, segera hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan di talian 997 dalam tempoh kurang daripada 24 jam untuk tindakan pembekuan akaun berantai (money tracing).
